Aku dan Mazidul berada di luar Balai Polis Dato Onn, Johor Bahru kira-kira jam 1 pagi Selasa. Ia selepas aku mendapat panggilan dari sumber sumber mengenai penemuan remaja yang dilaporkan hilang, Izzat Izzudin Hussin, 16 tahun sejak Ahad lalu.
Baca seterusnya di blog Mazidulakmal di link berikut:
Jam 12 tengahari tadi, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengadakan sidang media di Pusat Media, Ibupejabat Polis Kontinjen Johor bagi mengumumkan beberapa kejayaan polis Johor.
Pastinya, fokus utama wartawan yang menghadiri sidang akhbar itu adalah mengenai kejayaan polis menemui Izzat Izzudin di rumah rakan lelaki remaja itu Flat Desa Bukit Mutiara, Bandar Dato Onn, Johor Bahru.
Datuk Mohd Mokhtar mengesahkan polis berjaya menemui remaja itu kira-kira jam 12.30 malam tadi (Selasa) hasil makluman orang awam dan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menjalankan Ops Kesan.
Sebelum kita melompat kerana merasakan tiada keperluan untuk pasukan khas itu, ia melibatkan seorang kanak-kanak (mengikut definisi Akta Kanak-Kanak 2001) kerana mangsa berusia 16 tahun dan polis memberi perhatian akan laporan polis dibuat ibunya, Norhayati Mohammad, 38.
Norhayati membuat satu laporan polis di Balai Polis Majidee kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu selepas mendapati anak ketiganya itu tidak pulang sejak keluar dari rumah mereka di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, Johor Bahru, petang Sabtu lalu.
"Apabila laporan diterima (dari ibunya) kita bertindak menghantar (mengikut maklumat diterima dari ibunya tempat kali terakhir dilihat) forensik, Rela, Bomba dan Unit Anjing Pengesan (K9). Kita buat apa yang perlu untuk bantu mencari anak pengadu.
"Kita turut menubuhkan satu pasukan dan arahan diberikan agar segera mencari remaja ini. Kita berjaya jumpa malam tadi, jadi misteri Villa Nabila dah terbongkar, misteri Villa Nabila dah terjawab," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai sebaran tak berasas di internet, mengenai 'kehilangan' 22 lagi rakan Izzat Izzudin:
"Jadi cerita yang kata 22 lagi hilang disebabkan makhluk halus, makhluk berat itu semua adalah karut," tegasnya.
Izzat Izzudin adalah pelajar sekolah pendidikan khas yang disediakan kerajaan untuk pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ketika ditemui, turut berada di rumah keluarga rakan lelakinya itu ialah seorang kenalan wanita yang tinggal di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.
Ketiga-tiga mereka turut dihantar menjalani ujian air kencing di Bahagian Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru dan keputusan dikatakan negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.
Datuk Mohd Mokhtar turut ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak yang berterusan memuatnaik di pelbagai laman sosial cerita tak berasas termasuk ada mangsa meracau, dirasuk dan dilarikan makhluk halus.
"Nasihat saya, anda hanya menghina akal anda. Apabila polis sudah menjelaskan budak ini sudah ditemui, saya tidak nampak sebarang sebab untuk sesiapa terus menyebar khabar angin tidak benar, tidak berasas. Masyarakat sangat mudah terperdaya," katanya.
Polis Johor, katanya, akan turut memaklumkan kepada pihak berkaitan bagi menutup kawasan Villa Nabila itu bagi mengelak kejadian serupa berlaku memandangkan ia adalah harta persendirian.
Menurutnya, kehadiran polis di kawasan itu bagi mengelak orang ramai berkumpul lantaran berita tidak sahih yang tersebar di internet dengan pelbagai dakwaan mistik.
Sebaik sidang media selesai, aku bergegas ke Ibupejabat Polis Johor Baru Selatan selepas dimaklumkan Izzat Izzudin akan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga selepas kenyataannya diambil.
Perkara pertama berlegar dalam fikiran aku sejak Ahad lalu dan pernah aku lemparkan di twitter ialah, pastinya apa yang berlaku tidak seperti yang disebarkan di internet.
Sangkaan aku benar.
Aku berpeluang menemubual Izzat Izzudin dan ibunya sebaik proses penyerahan mangsa kepada ibunya selesai.
Nota: Kalau ambik foto ini, jangan pulak kau mosaic watermark tu eh, sebab nanti kena caci sampai kau mati.
Aku bertanya Izzat jam berapa dia memasuki banglo terbiar, Villa Nabila itu bersama rakan-rakannya.
Seramai 30 orang rakannya turut serta dalam 'ekspedisi mistik' itu dan dia memberi alasan bosan berjalan di sekitar pusat bandaraya sebagai penyebab mereka membuat keputusan meneroka banglo itu.
Menurutnya, dia memasuki banglo terbiar itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum keluar setengah jam kemudian.
"Keluar semua memang 30 orang. Kami siap kira. Selepas keluar ikut jalan belakang (berdepan dengan kawasan Istana Bukit Serene), kami pergi ke Mcdonalds. Menghampiri waktu subuh, kami berjalan ke Masjid Kolam Ayer untuk bersolat.
"Selepas itu kami pulang semula ke bandar sebelum saya berjumpa kawan saya dan mengikutnya pulang ke rumahnya (di Flat Desa Bukit Mutiara) bersama seorang lagi rakan perempuan," katanya.
Ditanya kenapa dia tidak terus pulang ke rumah, takut dimarahi ibunya sebagai alasannya.
"Ada tidak semasa setengah jam Izzat dalam rumah Villa Nabila tu, kawan Izzat kena rasuk, kena bawa lari makhluk halus? tanya aku kepadanya.
Dia ketawa kecil dan ringkas jawapannya: mana ada!
"Orang dok cakap di internet kata kawan aizat masih dalam rumah kena rasuk meracau semua?"
"Tak adalah. Tipu tu semua tu," katanya disambut ketawa dengan raut muka kehairanan.
Manakala ibunya, Norhayati Mohammad melahirkan rasa syukur dengan penemuan anaknya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis Johor kerana bertindak cepat mencari anaknya.
"Saya ucapkan terima kasih di atas tindakan pantas polis cari anak saya. Terima kasih berbanyak-banyak. Bersyukur anak saya sihat sebab dia sekolah pendidikan khas takut terjadi benda lain padanya.
"Semasa di Villa Nabila tu akak dengar macam macam itu yang akak berusaha bermacam untuk cari anak akak. Tetapi lepas dah jumpa ni, kalau boleh selepas ini, tak payah nak sebar benda yang bukan-bukan di internet, yang penting anak akak selamat," katanya.
source: http://www.hazrey.com
Entri Lain yang Menarik
No comments:
Post a Comment