-->

Total Pageviews

Pages

Letak 'adf.ly' di blog anda dan dapatkan $5 untuk setiap 10k pengunjung http://adf.ly/?id=1046044

Sunday, March 3, 2013

11 Info Perlu Tahu tentang Pencerobohan Di Sabah


Analisis: Pencerobohan Lanun Sulu Di #LahadDatu





1. Siapakah Yang Menceroboh?

Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ 
(The Royal Sulu Sultanate Army)1 
datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada kira-kira 200-400 orang,
 dengan 20-100 orang daripada mereka bersenjata2

Kumpulan ini diketuai oleh ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘mantan sultan’ 
Jamalul Kiram III dan ‘sultan’ Ismael Kiram II.3 4 Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk 
jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.

tenterasultan

2. Adakah Kumpulan Penceroboh Ini Mewakili Kesultanan Sulu?

Tidak.

Ini kerana kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan 
Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Kini terdapat 
dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu:

Pertama, Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir 
yang diiktiraf kerajaan Filipina, 
Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda 
pada hari penabalan bapa beliau sebagai sultan.

Kedua, Ismael Kiram II, abang kepada ketua penceroboh, ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram.

mahakuttah
Majlis penabalan Sultan Mohd. Mahakuttah 
A. Kiram sebagai Sultan Sulu pada 1974. 
Kelihatan sedang berjalan ialah anak beliau, 
Muedzul Lail Tan Kiram, yang ditabalkan 
sebagai Raja Muda. Kumpulan penceroboh
 ialah pengikut Ismael Kiram II, yang tidak 
pernah ditabalkan sebagai Sultan Sulu 
yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina.

3. Apakah Tujuan Kumpulan Penceroboh?

‘Mantan sultan’ Jamalul Kiram III menyatakan bahawa kumpulan ini ingin 
menjadikan Sabah sebagai ‘rumah’ mereka:“Mengapa kami harus meninggalkan 
rumah kami sendiri? 

Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami). 

Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang
 ke Filipina. Sabah ialah rumah kami”.2

4. Adakah Filipina Pernah Membuat Tuntutan Terhadap Sabah?

Ya.

Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana menganggap Kesultanan Sulu, 
yang pernah berpusat di Filipina, memiliki hak ke atas Sabah.

Setiausaha Kehakiman, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden Filipina kini telah diarahkan 
untuk melakukan kajian mengenai tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.5

5. Adakah Malaysia Boleh Membuat Tuntutan Terhadap Wilayah Milik Filipina 
Sekiranya Kesultanan Sulu Menjadikan Sabah Sebagai Pusat Pentadbiran?

Sabah tidak pernah menjadi pusat Kesultanan Sulu.

Malah, Sabah dianggap kurang penting oleh Kesultanan Sulu sehinggakan ia diserah 
kepada British North Borneo Company pada 22 Januari 1878.
Pusat Kesultanan Sulu terletak di Maimbung, Jolo.

maimbung
Istana Sultan di pusat pentadbirannya 
di Maimbung, Jolo. ‘Kesultanan Sulu’ 
tidak memiliki apa-apa kuasa politik di Jolo 
tetapi mahu menuntut kuasa politik di Sabah.

6. Adakah Pihak Di Malaysia Yang Menyokong Tuntutan Kesultanan 
Sulu Ke Atas Sabah?

Wakil The Manila Times di Mindanao, Al Jacinto, melaporkan bahawa pencerobohan 
‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ berlaku ketika 
Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Pakatan Rakyat, mencadangkan agar Sabah 
diberikan kuasa autonomi.6


manila
The Manila Times melaporkan bahawa 
pencerobohan ‘Tentera DiRaja 
Kesultanan Sulu’ berlaku ketika 
Dato’ Seri Anwar Ibrahim 
mencadangkan agar Sabah 
diberikan kuasa autonomi.


ABS-CBN News melaporkan bahawa kumpulan penceroboh tersebut telah 
dijemput oleh seorang ahli politik pembangkang:
A Philippine military officer interviewed by Reuters also said the men were followers
 of the heirs of the Sultan of Sulu – an island group off the southern Philippines – who
 had been invited to Sabah by a Malaysian opposition politician to discuss land issues.7
 (Seorang pegawai tentera Filipina yang ditemuramah Reuters juga berkata bahawa 
kumpulan tersebut merupakan pengikut kepada waris Sultan Sulu – sebuah kepulauan di 
selatan Filipina – yang diundang ke Sabah oleh seorang ahli politik pembangkang
 Malaysia untuk membincangkan isu tanah.)


abs
ABS-CBN News melaporkan seorang 
pegawai tentera Filipina memberitahu 
Reuters bahawa kumpulan penceroboh telah 
diundang seorang ahli politik pembangkang.

The Star melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya samada 
laporan yang mengatakan bahawa pihak pembangkang menjemput 
kumpulan penceroboh tersebut ke Sabah adalah benar, menjawab:
Who is the one who gave it?8(Siapa yang beri?)

7. Benarkah Malaysia Membayar Sewa Kepada Filipina Untuk Sabah?

Tidak.

Malaysia membayar ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun kepada waris 
Sultan Sulu.Cession money‘ ialah bayaran penyerahan, dan bukan 
bayaran sewa. Selain Sabah, terdapat wilayah-wilayah lain di dunia yang 
diserahkan (ceded) dengan bayaran, contohnya:

1. Louisiana, diserah oleh Perancis kepada Amerika Syarikat dengan 
bayaran berjumlah USD15 juta, atau kurang USD0.03 seekar.

2. Alaska, diserah oleh Russia kepada Amerika Syarikat dengan bayaran 
USD7.2 juta, atau USD0.02 seekar.


cession

8. Apakah Wilayah Yang Menjadi Hak Kesultanan Sulu?

Royal House of Sulu9, laman web rasmi Muedzul Lail Tan Kiram mendakwa bahawa 
wilayah-wilayah yang menjadi hak Kesultanan Sulu termasuklah Jolo, Palawan, 
Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina, selain Sabah dan 
Pulau Balambangan di Malaysia. Kepulauan Spratly juga didakwa di bawah hak Kesultanan 
Sulu.

Jolo, Basilan dan Tawi-Tawi sekarang berada di dalam wilayah pentadbiran Filipina 
yang dinamakan ARMM (Autonomous Region in Muslim Mindanao – Wilayah Autonomi 
Muslim Mindanao). ARMM dicadang untuk digantikan dengan wilayah autonomi baru 
yang dikenali sebagai Bangsamoro.

9. Adakah Filipina Mengiktiraf Kesultanan Sulu?

Tidak.

Kali terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Sultan Sulu ialah pada 24 Mei 1974 
apabila Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos, mengeluarkan Memorandum 
Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan.

Sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina 
tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.

427
Memorandum Order No. 427 ialah bukti 
terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf 
Kesultanan Sulu. 
Tiada sebarang memorandum dikeluarkan 
untuk mana-mana individu yang mengaku 
‘sultan’ selepas itu. Filipina tidak mengiktiraf 
Kesultanan Sulu tetapi pernah menuntut 
wilayah yang kononnya masih menjadi
 hak Kesultanan Sulu.

10. Adakah Ini Bermakna Filipina Memanipulasi Kesultanan Sulu 
Untuk Menuntut Sabah?

Filipina dilaporkan pernah memulakan ‘Operation Merdeka‘ pada 1967, Satu operasi 
ketenteraan untuk melatih pasukan komando daripada etnik Tausug dan Sama yang 
beragama Islam bagi menimbulkan ketidakstabilan dan kacau-bilau di Sabah.

Namun, sebaik sahaja mengetahui matlamat sebenar operasi ini ialah untuk 
memerangi kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, pelatih-pelatih etnik Tausug dan Sama 
ini telah menuntut agar dihantar pulang. Walau bagaimanapun, Pasukan Bersenjata Filipina
(AFP – Armed Forces of the Philippines) dikatakan telah 
menembak mati para pelatih ini. Dilaporkan seramai 11-64 orang telah mati ditembak. 
Kejadian ini dikenali sebagai Jabidah Massacre (Pembunuhan Jabidah) atau 
Corregidor Massacre(Pembunuhan Corregidor).

William Larousse10, Michael Leifer11, Andrew T. H. Tan12 dan Alfred W. McCoy13 
adalah antara para penulis yang telah melaporkan kejadian ini.

11. Apakah Peluang Filipina Untuk Menuntut Sabah Sekiranya 
Kes Ini Dibawa Ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?

Tipis.

Pertama, kerana waris Sultan Sulu telah menerima
cession money‘ sehingga ke hari ini. 
Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), 
dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

Kedua, kerana Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan 
Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Geran pajakan yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, 
Sultan Jamalul A’lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, 
yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.

Ketiga, geran pajakan yang ditandatangani antara British North Borneo Company 
dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885.

Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu telah 
menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 
untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:

Article 3

The Spanish Government relinquishes as far as regards
 the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the 
continent of Borneo which belong,
 or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein
 the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as
 all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts
 and which form part of the territories administered by the Company
 styled the ‘British North Borneo Company’.


(Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua
 tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki,
 atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo),
 termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran,
 dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang
 pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang 
digelarBritish North Borneo Company‘.)14

Keempat, Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja 
Sultan Jamalul Kiram II menandatangani 
Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan 
segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

Kelima, kerajaan Malaysia telah mengambil tanggungjawab 
untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk 
Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. 
Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh 
kerajaan Malaysia ke atas Sabah. Mengikut dasar 
effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa 
(ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan 
hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada 
kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

Keenam, laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 
1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak 
menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong 
projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 
yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka 
yang mahukan pentadbiran British diteruskan.

Ketujuh, Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 
1963 bahawa penduduk Sabah “ingin menamatkan status kebergantungan 
mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan 
yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka” 
(“wish to bring their dependent status to an end and to realize their 
independence through freely chosen association with other peoples in their region”).15

Kelapan, jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, 
maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja 
membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut 
dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, 
Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga 
mereka dakwa merupakan milik mereka.

Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa 
kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.


RUJUKAN:
1. “Sulu sultan’s army stakes Sabah claim,” philstar.com, 16 Februari, 2013,http://www.philstar.com/headlines/2013/02/16/909400/sulu-sultans-army-stakes-sabah-claim
2. “Pengikut Sultan Sulu Tidak Akan Tinggalkan Lahad Datu,” mStar Online, 18 Februari, 2013, http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/2/18/mstar_berita/20130218160807&sec=mstar_berita
3. “Salasilah Hubungan Kesultanan Brunei-Suluk,” SMJ-Site,http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/familytree.htm
4. “The true Sultan of Sulu,” http://www.fakesulusultans.com/
5. “Gov’t to assess Sabah claim,” BusinessWorld Online, 21 Februari, 2013,http://www.bworldonline.com/content.php?section=Nation&title=Gov%E2%80%99t-to-assess-Sabah-claim&id=66237
6. “Our Sultan of Sulu and Sabah,” The Manila Times Online, 16 Februari, 2013, http://www.manilatimes.net/index.php/opinion/editorials/41591-our-sultan-of-sulu-and-sabah
7. “‘Royal Sulu Army’ in Malaysia stand-off,” ABS-CBNnews.com, 15 Februari, 2013, http://www.abs-cbnnews.com/nation/02/14/13/royal-sulu-army-malaysia-stand
8. “We did not invite Sulu gunmen, says Anwar,” The Star Online, 22 Februari, 2013, http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/2/22/nation/12745258&sec=nation
9. “Sultan of Sulu,” Sultaniyyah Sin Lupah Sughttp://www.royalsultanateofsulu.org/#!sultan-of-sulu
10. William Larousse, A Local Church Living For Dialogue: Muslim-Christian Relations in Mindanao-Sulu (Philippines), Editrice Pontificia Universita Gregoriana, 2001.
11. Michael Leifer, Michael Leifer: selected works on Southeast Asia, Institute of Southeast Asian Studies, 2005.
12. Andrew T. H. Tan, A Handbook of Terrorism and Insurgency in Southeast Asia, Edward Elgar Publishing Limited, 2007.
13. Alfred W. McCoy, Policing America’s Empire: The United States, The Philippines, and the Rise of the Surveillance State, The University of Wisconsin Press, 2009.
14. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,”International Court of Justice, 17 Disember, 2002, http://www.icj-cij.org/docket/files/102/7714.pdf
15. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,”World Court Digest, 23 Oktober, 2001,http://www.mpil.de/ww/en/pub/research/details/publications/institute/wcd.cfm?fuseaction_wcd=aktdat&aktdat=201010200400.cfm

source: 1peluru.com

Entri Lain yang Menarik

0 comments:

Post a Comment

Entri Terbaik dari Blog Lain